• Penghantaran kuasa pula boleh dijelaskan sebagai santai dan linear. Apabila ingin memotong memerlukan tekanan pada pendikit lebih awal atau menggunakan mod Sport. Bagaimanapun ngauman yang dihasilkan tidaklah sekeras generasi sebelumnya. Kuasa yang ditawarkan adalah cukup untuk pemanduan harian.
  • Bahkan transmisi juga ditambah baik untuk lebih laju dan lebih senyap ketika pertukaran gear.
  • Buat pertama kali juga Sonata didatangkan dengan sistem Mod Pemanduan- Eco, Normal dan Sports. Setiap mod memainkan peranan terhadap perubahan kuasa stereng, tukaran gear dan penghantaran pendikit.
  • Sepanjang perjalanan menuju ke Port Dickson, saya cukup tertarik dengan perubahan stereng dan suspensi.  Sistem suspensi dengan Amplitude Selective Damper menjadikan kerja rendaman pada jalan yang beralun atau berlubang lebih selesa serta respons lebih baik. Begitu juga ketika proses mengambil selekoh.
  • Hyundai juga mempertingkatkan rangka badan. Hasilnya perubahan kawalan badan adalah paling ketara. Buktinya ketika melalui jalan berselekoh sekitar Negeri Sembilan, kadar olengan badan yang minimum dan cengkaman mekanikal cukup meyakinkan.
  • Malah, pusingan pada selekoh secara tiba-tiba mudah diselesaikan. Sonata mengembalikan semula kedudukan dengan cepat. Latihan memandu di Litar Antarabangsa Sepang membuktikan ketangkasan Sonata mengubah haluan.
  • Kesenyapan kabin juga berada di tahap sederhana. Saya berasa perubahan pengendalian yang lebih baik berbanding sebelumnya. Nampaknya penghalusan generasi baharu ini lebih bernilai.
  • Duduk di belakang, tersedia banyak ruang lutut dan bukan satu masalah jika pemandu berketinggian 6 kaki. Penumpang belakang bukan sahaja boleh duduk bersilang kaki tetapi juga dengan gaya bebas.
  • Satu bonus juga sekiranya pemandu seorang yang rendah seperti saya. Ruang yang ditawarkan bagi penumpang belakang ibarat sebuah limousin sehinggakan penumpang dengan tinggi 6 kaki mampu melunjurkan kaki.
  • Ia dicapai apabila pihak Hyundai meningkatkan panjang Sonata sebanyak 35 milimeter (mm) dan lebar 30mm. Satu kelebihan buat Sonata.
  • Jika dahulu saya kurang berpuas hati dengan pengendalian Sonata. Kini perkara terbaik dilakukan oleh Hyundai bukan sahaja pada bahagian penampilan tetapi juga pengendalian. Kali ini penghalusan Sonata adalah lebih baik dan sedikit banyak  memuaskan hati.