Tahukah Anda : Amalan Sunnah Rasulullah Di Pagi Aidilfitri | Hari Raya Aidilfitri merupakan hadiah yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada umat-Nya yang berjaya mengharungi cabaran melawan nafsu pada bulan Ramadhan .
Amalan Sunnah Rasulullah Di Pagi Aidilfitri
Berikut dikongsikan beberapa amalan sunat pada pagi raya Aidilfitri :
1- Mandi Sunat
Disunatkan mandi pada pagi hari raya . Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan al-Fakih bin Sa'd r.a. yang bermaksud :
" Rasulullah s.a.w. melakukan mandi pada pagi Hari Raya Puasa dan Hari Raya Qurban . "
( Riwayat Ibnu Majah )
2- Memakai Pakaian Yang Indah
Kita disunatkan menghias diri dengan pakaian yang indah . Menurut Imam Syafie :
" Mengenai golongan kanak-kanak , mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya , baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan . "
3- Makan Sebelum Solat Aidilfitri
Disunatkan menjamah makanan sebelum pergi menunaikan solat Aidilitri . Kebiasaannya Rasulullah s.a.w. akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi Hari Raya . Anas bin Malik r.a. berkata yang bermaksud :
" Rasulullah s.a.w. tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma . "
4- Berjalan Kaki Ke Masjid
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri . Ali bin Abi Thalib r.a. berkata yang bermaksud :
" Termasuk sunnah , iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat . "
( Riwayat al-Tirmizi )
Malah kita juga disarankan mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya . Jabir bin Abdullah r.a. berkata yang bermaksud :
" Nabi s.a.w. melalui jalan yang berbeza pada hari raya . "
( Riwayat al-Bukhari )
5- Solat Aidilfitri
Antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlaksanaan solat Aidilfitri sebanyak dua rakaat serta mendengar khutbah . Ibn Abbas r.a. berkata yang bermaksud :
" Rasulullah s.a.w. telah keluar pada Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat . Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya . "
( Riwayat al-Bukhari )
0 Response to "Tahukah Anda : Amalan Sunnah Rasulullah Di Pagi Aidilfitri"
Post a Comment
TERIMA KASIH SUDI KOMEN ... INSHAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA ...