Bersedekah Barang Yang Kita Sayang | Sedekah merupakan pemberian ikhlas sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada adalah keikhlasan . Maknanya kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah .
Firman Allah yang bermaksud :
" Kalau kamu zahirkan sedekah itu , maka itu adalah baik . Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin , maka itu adalah baik bagi kamu ; dan Allah akan hapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahanmu . Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan . "
( al-Baqarah : 271 )
Sedekah menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain . Wakaf pula ialah pembelian barangan untuk kegunaan masjid , surau , rumah anak-anak yatim dan sebagainya . Sedekah jariah adalah pemberian yang bermanfaat dan yang baik .
Rasulullah pernah bersabda , kalau kita boleh memberi sesuatu benda , senyumlah kerana senyum adalah sedekah .
Begitu juga dengan membuang duri di jalanan adalah sedekah hatta berkata-kata perkara yang baik pun termasuk dalam sedekah . Ini terkandung dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim .
Ternyata sedekah itu bukanlah perkara yang sukar dilakukan . Ini juga memberi semangat kepada golongan yang kurang berada bahawa pintu bersedekah ini terbuka luas bukan hanya kepada golongan kaya .
Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah s.a.w. dari Jabir bin Abdullah katanya : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
" Tiap-tiap perkara yang maaruf menjadi sedekah . Antara perkara yang maaruf itu hendaklah engkau ( semasa ) bertemu dengan saudaramu ( sesama anak Adam ) biarlah dengan muka yang manis dan ( kalau ada yang meminta air ) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya . "
( Riwayat Imam Ahmad )
Paling utama adalah memberi sesuatu yang menjadi kesayangan kita atau setaraf dengannya .
Firman Allah yang bermaksud :
" Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai ( hakikat ) kebajikan dan kebaktian ( yang sempurna ) sebelum kamu mendermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi . "
( Surah Ali - Imran : 92 )
Dalam satu hadis , Rasulullah bertanya kepada Siadina Ali :
" Wahai Ali , apa yang engkau suka dalam dunia ? "
Ali menjawab :
" Memberi makan apa yang aku suka makan . "
Oleh itu , jika berniat sedekah untuk jiran , elok memberi makanan yang sama dengan yang kita makan . Dengan kata lain , jangan kita sedekah sesuatu yang kita sendiri tidak mahu dan ia pula tidak lagi boleh digunakan atau dipakai .
0 Response to "Bersedekah Barang Yang Kita Sayang"
Post a Comment
TERIMA KASIH SUDI KOMEN ... INSHAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA ...