Perlukah Diam Bila Dengar Azan


Assalamualaikum ...


Perlukah Diam Bila Dengar Azan | Dengan lafaz Bismillah . Seringkali orang mengatakan bahawa , ketika azan , kita dikehendaki diam juga dikehendaki berhenti makan sekiranya sedang makan . Jika kita tidak melakukannya , telinga kita akan disiram tembaga panas diakhirat kelak . Sama ada kenyataan itu ada hadis yang sohih ataupun tidak , SI pun tidak tahu . Dalam mencari jawapan perlukah diam bila dengar azan , SI menemui penjelasan berikut  . 




 Perlukah Diam Bila Dengar Azan


Perlukah Diam Bila Dengar Azan

Soalan:
Ada seorang kawan mengirimkan artikel dgn menyatakan sebuah hadith. Diriwayatkan sebuah hadith yg bermaksud : Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya. apakah status hadith ini?

Jawapan :


Sebaran tersebut kelihatan bertentangan dengan hadis sahih yang menyuruh menyebut semula apa yang dilaungkan muazzin bukannya diam. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إذا سمعتم النداء فقولوا مثل ما يقول المؤذن
Jika kalian mendengar seruan (adzan), ucapkanlah seperti yang dilaungkan oleh muazzin
[Sahih Muslim - no:383]
Sekalipun punya dalil jelas dalam persoalan mengulangi apa yang dilaungkan muazzin (menjawab azan). Jumhur masih tidak menetapkan hukum wajib keatasnya. Saya petik satu perbahasan dari kitab Subulus Salam (syarah kepada kitab Bulughul Maram) berkenaan dengan hukum menjawab azan:
وَقَالَ الْجُمْهُورُ : لَا يَجِبُ ، وَاسْتَدَلُّوا { بِأَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ مُؤَذِّنًا فَلَمَّا كَبَّرَ قَالَ : عَلَى الْفِطْرَةِ ، فَلَمَّا تَشَهَّدَ ، قَالَ : خَرَجْت مِنْ النَّارِ } أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ .
قَالُوا : فَلَوْ كَانَتْ الْإِجَابَةُ وَاجِبَةً لَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا قَالَ الْمُؤَذِّنُ ، فَلَمَّا لَمْ يَقُلْ دَلَّ عَلَى أَنَّ الْأَمْرَ فِي حَدِيثِ ” أَبِي سَعِيدٍ ” لِلِاسْتِحْبَابِ
Berkata jumhur ulamak: Tidak diwajibkan. Mereka berdalilkan (dengan satu perbuatan Nabi saw) {ketika mana baginda mendengar tukang azan melaungkan takbir, baginda bersabda : “(kamu berada) atas Fitrah.” ketika baginda mendengar syahadah, baginda bersabda : “Kamu selamat daripada neraka.”} 
(Hadis) dikeluarkan Muslim.[1]
Jumhur Ulama berkata : “Jika menjawab azan itu wajib, sudah pasti Nabi saw akan menyahut azan tersebut sepertimana yang dilaungkan oleh muazzin. Maka apabila (terdapat perbuatan Nabi yang tidak menyahut azan seperti laungan muazzin) menjadi tanda bahawasanya arahan (menjawab azan seperti hadis dari Abi Sa’id) menunjukkan kepada istihab (sunat)…” 
[ As-Sana'ani, Subulus Salam. jld. 1, ms. 428]
Jika menjawab azan yang sudah jelas dalilnya pun merupakan sekadar istihab, maka tidak patut bagi sesiapa menetapkan hukum wajib diam tanpa bersandarkan apa-apa dalil sahih. Tambahan lagi, jika dilihat di dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri bercakap ketika azan.
Dan para Sahabat yang merupakan murid kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga pernah berbicara semasa azan. Daripada Thalabah bin Abi Malik al-Qurazi :
أَنَّهُمْ كَانُوا فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ يُصَلُّونَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ حَتَّى يَخْرُجَ عُمَرُ فَإِذَا خَرَجَ عُمَرُ وَجَلَسَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَأَذَّنَ الْمُؤَذِّنُونَ قَالَ ثَعْلَبَةُ جَلَسْنَا نَتَحَدَّثُ فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُونَ وَقَامَ عُمَرُ يَخْطُبُ أَنْصَتْنَا فَلَمْ يَتَكَلَّمْ مِنَّا أَحَدٌ
Adalah mereka di zaman Umar bin al-Khattab, menunaikan solat (sunat) pada hari Jumaat, sehinggalah Umar masuk ke dalam masjid, apabila Umar masuk (ke dalam masjid, dan beliau duduk di atas mimbar, lalu tukang azan melaungkan azan. Kata Thalabah : Kami pun duduk (berhenti dari menunaikan solat sunat) dan kami berbicara (bersembang). Apabila azan selesai, lalu Umar berdiri untuk menyampaikan khutbah, kami pun diam dan tidak ada seorang pun daripada kami yang berbicara. 
[Muwata Malik dengan Syarah al-Zarqani. Jld 1, m.s. 307]
Menjawab azan, maka mustahil orang yang tidak mendiamkan diri ketika azan akan dikelukan lidahnya ketika hampir maut, kerana hukum menjawab azan itu adalah sunat sahaja.
Malah Imam Bukhari yang merupakan pakar dan imam mujtahid hadis yang juga merupakan seorang yang faqih dan mujtahid dalam bidang fiqh ada meletakkan bab ‘’Berkata-kata ketika (dalam) Azan (بَاب الْكَلَامِ فِي الْأَذَانِ)’’ dalam kitab Sahihnya, dan dalam bab ‘’Berkata-kata ketika (dalam) Azan (بَاب الْكَلَامِ فِي الْأَذَانِ)’’ ini Imam Bukhari memasukkan hadis-hadis dan athar-athar yang menunjukkan bolehnya bercakap-cakap ketika azan iaitu:
1) تَكَلَّمَ سُلَيْمَانُ بْنُ صُرَدٍ فِي أَذَانِهِ
Maksudnya: Sulaiman bin Shurad berbincang-bincang (berkata-kata) sewaku ia mengumandangkan azan – athar (tanpa sanad) riwayat al-Bukhari dalm Sahihnya, bab ‘’berkata-kata dalam azan’’, berkata al-Hafiz Ibn Hajar ‘’dikeluarkan (secara penuh dengan sanad) oleh al-Bukhari dalam kitab Tarikhnya dan sanadnya Sahih’’ (rujuk Sahih Bukhari, bab ‘’berkata-kata ketika Azan’’ , Fathul Bari oleh Ibn Hajar, jilid 2, m/s 419, dan Tarikh al-Kabir oleh Bukhari, hadis no. 358)
2) قَالَ الْحَسَنُ لَا بَأْسَ أَنْ يَضْحَكَ وَهُوَ يُؤَذِّنُ
Maksudnya: berkata al-Hasan ‘’tidak mengapa jika muazzin ketawa ketika azan.’’ – athar riwayat Bukhari, bab ‘’berkata-kata ketika Azan’’. Berkata Ibn Rajab ‘’daripada Rabi’ bin Sobih dari al-Hasan katanya: tidak mengapa berkata-kata ketika azan dengan hajat’’, berkata al-Hafiz Ibn Hajar ‘’aku tidak melihat ia mausul’’ (rujuk Sahih Bukhari, bab ‘’berkata-kata ketika Azan’’, Fathul Bari oleh Ibn Rajab, jld 4, m/s 224, dan Fathul Bari oleh Ibn Hajar, jld 2, m/s 419)

Hukum bercakap-cakap/berbual-bual ketika azan


Para fuqaha’ berselisih pendapat:

           1) Dibolehkan dan Tiada Masalah


Yang berpendapat bahawa ianya dibolehkan (tiada masalah) adalah al-Hasan , al-Awzaie, al-Bukhari dan lain-lain.

2) Makruh tetapi dibolehkan jika untuk maslahah


Yang berpendapat bahawa ianya makruh adalah Ibn Sirin, al-Sya’bi, Abu Hanifah, Malik, al-Thauri, Syafie. Namun demikian sebahagian mereka mengecualikan dan berpendapat jika percakapan itu untuk maslahah maka ianya tidak makruh (iaitu seperti menjawab salam, menjawab bersin, menyuruh kebaikan dan mencegah mungkar dan sebagainya) sebagaimana kata Ishaq ‘’sekiranya untuk maslahah seperti menjawab salam dan menyuruh kepada kebaikan maka ianya tidak makruh…”. 

3) Makruh ketika Iqamah dan tidak makruh ketika Azan


Dan ada juga fuqaha’ yang berpendapat makruh bercakap-cakap ketika iqamah tetapi tidak makruh (dibolehkan berkata-kata) ketika azan, dan pendapat ini masyhur pada Imam Ahmad. (lebih lanjut - rujuk Fathul Bari syarah Sahih Bukhari oleh Ibn Rajab al-Hanbali, jilid 4, m/s 224, bab ‘’berkata-kata ketika azan’’)

Kalau benar terdapat hadis menyatakan berbicara ketika azan akan menyebabkan tidak dapat mengucap ketika penghujung nyawa, para sahabat tentu tidak akan melakukannya kerana kesalahan itu membawa implikasi besar.

KESIMPULAN

Tiada dalil yang menyuruh diam ketika azan. Walau bagaimanapun, adalah merupakan sunnah dan lebih afdhal menjawab azan. Menetapkan hukum wajib untuk diam tanpa berlandaskan dalil sahih boleh dikatakan perbuatan melampau dan memperlakukan agama sesuka hati. Moga kita dipelihara Allah Subhana wa Ta’ala daripada sikap-sikap sedemikian.



Nota ;

Sekiranya pada ketika laungan azan itu tiada perkara penting yang perlu diperkatakan , maka lebih baik diam dan menghayati azan kerana ianya akan membawa keinsafan dalam diri kita .


~ Sumber Informasi ~




12 Responses to "Perlukah Diam Bila Dengar Azan"

  1. Salam Jumaat sis... pernah tgk rancangan ustaz di TV ttg persoalan ini.. tentang menjawab azan tu memang dah biasa dengar.. sama2 kita menambah ilmu...

    ReplyDelete
  2. Wallahu'alam.....tq atas perkongsiannya Vee

    ReplyDelete
  3. kena baca banyak kali baru faham CM..
    tapi lebih sopan rasanya utk diam masa azan.
    bergantunglah pada penerimaan orang bagaimana kan CM..

    ReplyDelete
  4. Betul kena diam & hayati sebenarnye.
    Sampaikan kalau berniaga pun kena berenti tutup kedai dan terus pi tunaikan solat.

    ReplyDelete
  5. tq so much for the info kak.. fuh.. baru tau.. Han Woo Hwan's Blog

    ReplyDelete
  6. Perkongsian yg baik... klu tak de benda penting yg nak dicakap sewaktu azan, lebih baik diam & menjawab azan tu dari dok mengarut & melalut kan..
    Singgah maybank nak keluarkan duit.. :D

    ReplyDelete
  7. Diam bermaksud menghormati azan dr berkata2 perkara lain agar ingat akan tanggungjawab dan seruan Allah. Apabila kita fokus mendengar azan pasti kita akan menjawab laungan tersebut...

    ReplyDelete
  8. Betul tu..kita semenagnya disuruh menghormati dan menjawab azan...dan yang penting bersegerlah untuk bersolat dan tinggalkan urusan yang tak perlu..

    ReplyDelete
  9. Salam Sis Vee...Bagus juga bila Sis Up mengenai persoalan ini ..Sekuarang2nya kita tahu dan dapat sedikit pencerahan..thanks sharing

    ReplyDelete
  10. Terima kasih atas perkongsian CM ini ^_^

    ReplyDelete
  11. Asalamualaikum..tq ats infomasinya,yg benar ini..insyaallah ya,tlu byk fahaman palsu tentg hadist di alam maya ini,mohon share utk di kogsikan bersama.

    ReplyDelete
  12. Assalamualaikum ... terima kasih atas perkongsian yg sangat bermanfaat .. moga kite semua dipelihara oleh Allah SWT

    ReplyDelete

TERIMA KASIH SUDI KOMEN ... INSHAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA ...