Sejarah Dan Kepentingan Dinar Emas


Sejarah Dan Kepentingan Dinar Emas | EKONOMI Amerika Syarikat (AS) yang menjadi tonggak kepada ekonomi kapitalis kini berada pada tahap terburuk dan lembap. Kelembapan itu turut menjangkiti negara-negara lain di dunia. Tiga per empat daripada dolarnya berada di luar negara dengan nilai yang terus menyusut.

Sejarah Dan Kepentingan Dinar Emas


Kegemilangannya dilihat terus merudum. Tidak seperti detik bersejarah Perjanjian Bretton Woods pada tahun 1944 yang telah menipu dan memperdaya 44 buah negara supaya bersetuju menyandarkan mata wang kertas negara mereka kepada dolar AS. Tipu daya itu berlangsung menerusi jaminan adikuasa itu bahawa dolarnya adalah bersandarkan kepada emas iaitu sebanyak US$35 bagi setiap auns.

Penipuan terbesar adalah semasa pemerintahan Presiden Nixon yang mana pada tanggal 15 Ogos 1971 secara unileteral telah memungkiri perjanjian Bretton Woods dengan tidak lagi menyandarkan dolarnya kepada emas akibat kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh keperluan pembiayaan Perang Vietnam serta defisit imbangan pembayaran yang berterusan.

Semenjak runtuhnya Perjanjian Bretton Woods, sistem kewangan dunia telah digantikan dengan sistem mata wang apungan di mana nilai mata wang sesebuah negara, dinilaikan pada mata wang negara lain. Kaedah ini mengakibatkan ketidaktentuan turun naik nilai mata wang sekaligus memberi peluang kepada spekulator mata wang mengaut keuntungan atas kerugian negara lain. Richard Duncan, dalam bukunya The Dollar Crisis, meramalkan kemungkinan satu krisis ekonomi yang mungkin lebih buruk daripada ‘Great Depression’ seandainya sistem kewangan sekarang diteruskan.

Melihat kepada kekurangan yang ada pada sistem mata wang apungan ini, ramai pakar ekonomi berpendapat bahawa penggunaan dinar emas adalah sangat disyorkan agar digunapakai kembali sebagai alat menyimpan nilai dan perantara pertukaran terutama dalam perdagangan antarabangsa.  Langkah ini disyorkan kerana dinar emas terkenal dengan sifat stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi.

Dari segi tabungan, emas lebih stabil berbanding wang kertas kerana nilainya tidak mengalami turun naik yang ekstrem dan tidak merosot akibat inflasi. Dari segi zakat, hukum Islam menetapkan bahawa zakat hanya boleh dibayar dalam bentuk barangan nyata. Dinar emas sangat sesuai berbanding wang kertas kerana wang kertas hanya laku atas jaminan kerajaan yang mengeluarkannya. Sedangkan emas tidak memerlukan mana-mana pihak untuk mengesahkan nilainya kerana ia dengan sendirinya mempunyai nilai.

Umar Ibrahim Vadillo merupakan individu yang melihat penggunaan dinar emas sebagai jalan penyelesaian kepada krisis ekonomi dunia. Beliau telah berusaha keras untuk mencipta iklim ekonomi yang bersandarkan dinar emas yang sepatutnya menjadi mata wang umat Islam. Malah, beliau juga yang telah melobi Tun Dr Mahathir selepas negara di landa krisis mata wang pada tahun 1997 untuk bertukar kepada penggunaan dinar emas

Hujahnya, mata wang dinar emas bukan sahaja mampu dijadikan sebagai kaedah utama pembayaran berikutan terdapat lebih daripada satu bilion umat Islam di dunia ini malah kedudukan ekonomi sesebuah negara akan lebih terjamin kerana dinar emas merupakan komoditi yang mempunyai harga yang stabil.

Pada tanggal 18 Ogos 1991, beliau dengan lantang telah mengeluarkan fatwa bahawa wang kertas adalah haram. Fatwa berkenaan merumuskan bahawa wang kertas adalah satu bentuk hutang (janji yang dibayar oleh pihak yang mengeluarkannya) dan oleh itu tidak boleh digunakan sebagai alat pembayaran. Ini bertepatan dengan takrifan daripada Imam Malik r.a. yang mentakrifkan wang sebagai 

“sebarang komodititi yang diterima umum digunakan sebagai alat pertukaran”. 

Oleh hal yang demikian, manusia mempunyai kebebasan untuk memilih sebarang komoditi yang bernilai sebagai mata wang dan bukan mata wang yang dipaksa nilai ke atasnya.

2 Responses to "Sejarah Dan Kepentingan Dinar Emas "

  1. Rugi kita kerana tidak mahu menggunakan emas

    ReplyDelete
  2. Harus mengembalikan fungsi emas sebagai medium pertukaran.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH SUDI KOMEN ... INSHAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA ...