Keadaan Yang Membenarkan Solat Jamak | Solat jamak dilakukan apabila seseorang itu tidak dapat menunaikan solat pada ketika itu atas sebab-sebab yang dibenarkan dalam Islam kemudian menunaikan solat selepas itu dengan mengumpulkan dua solat dalam satu waktu .
“Inginkah tuan-tuan saya ceritakan perihal solat Rasulullah s.a.w. sewaktu sedang bersafar.” Ujar kami:“Baik.” Katanya:“Jika baginda masih berada di rumah semasa matahari telah tergelincir (masuknya waktu Zohor), beliau jamakkan Zohor dengan Asar (jamak taqdim) sebelum berangkat, tapi kalau belum lagi tergelincir, maka baginda berjalan hingga nanti bila waktu Asar masuk baginda pun berhenti dan menjamak solat Zuhur dengan Asar (jama ta’khir). Begitu juga jika selagi baginda di rumah waktu Maghrib sudah masuk, baginda jamaklah solat Maghrib dengan Isyak, tetapi kalau waktu belum lagi masuk, baginda terus sahaja berangkat dan nanti bila waktu Isyak tiba, baginda pun berhenti untuk menjamak solat Maghrib dan Isyak itu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Solat jamak terbahagi kepada dua iaitu jamak Takdim dan jamak Takhir .
1- Solat Jamak Takdim
Apabila solat Zuhur dijamakkan dengan Asar pada waktu Zuhur , solat Maghrib dan Isyak pada waktu Maghrib , dinamakan solat Jamak Takdim .
2- Solat Jamak Takhir
Jamak Takhir pula melaksanakan solat Zuhur dan Asar pada waktu Asar , solat Maghrib dan Isyak pada waktu Isyak .
Keadaan-keadaan Yang Membenarkan Solat Jamak
Sepertimana ang diketahui , solat Jamak boleh dilakukan oleh orang yang bermusafir tidak kurang daripada 60 batu atau 100 km selama 3 hari dan diharuskan selama18 hari jika urusannya tidak selesai dari sehari ke sehari .
Selain dari orang yang musafir , solat jamak juga dibenarkan kepada orang - orang yang berikut :
1- Pelajar yang belajar di luar negara yang kelas dihadirinya melepasi dua waktu solat .
2- Pekerja yang melakukan pekerjaan melepasi dua waktu solat tanpa boleh meninggalkan kerjanya seperti doktor yang sedang melakukan pembedahan .
3- Pesakit yang sangat uzur dan sukar untuk melakukan solat pada setiap waktu .
Sumber : Cinta Ilmu TV Alhijrah 24 Mac 2016 jam 6 petang .
Keadaan - keadaan lain sebagaimana di bawah ini :
Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin di dalam Majmu’ Fatawa Arkanil Islam menulis:
“Jamak itu tidak berkait dengan qasar tetapi terkait dengan keperluan. Apabila sahaja seseorang itu perlu untuk menjamak solatnya baik ketika dia bermukim mahupun ketika dalam perjalanan maka dia boleh menjamak solatnya. Oleh itu, manusia melakukan jamak ketika hujan yang menyulitkan mereka untuk kembali ke masjid. Juga dibolehkan menjamak solat bila terjadi angin kencang di musim dingin yang menyukarkan mereka keluar menuju masjid. Juga dibenarkan menjamak solat jika dia takut keselamatan hartanya atau yang semisalnya.”
Inilah rukhshah (kelonggaran) sebenarnya yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya sesuai dengan sifatnya yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Maka sewajarnya kita bersyukur atas kurniaan-Nya itu dengan menggunakan rukhshah tersebut dan tidak mencipta batasan-batasan tertentu yang tidak disyari’atkan oleh Allah s.w.t.dan Rasul-Nya s.a.w.. Apatah lagi Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menjamakkan solat bukan kerana musafir atau hujan hanya bertujuan untuk memudahkan umatnya.
Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a, dia berkata:
“ Nabi s.a.w. bersolat di Madinah (bukan dalam musafir) sebanyak tujuh dan lapan rakaat iaitu dengan menjamak Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak ” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).
Juga telah diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a:
“ Rasulullah s.a.w. pernah menjamak solat Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak di Madinah (bukan dalam musafir), bukan kerana dalam ketakutan atau hujan.” Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi s.a.w. berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya. ”(Hadis riwayat Imam Abu Dawud)
Syaikh Abu Ubaidah Masyhur di dalam Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin pula berkata selain dari dalam ketakutan ataupun hujan yang lebat:
“ Diperbolehkan menjamak solat ketika tanah dalam keadaan berlumpur, udara yang dingin, turun salju, sakit, angin kencang bahkan kerana adanya uzur atau kepentingan lain…Ibnu Taymiyyah berkata: “Mazhab Fiqh yang paling longgar dalam masalah menjamak solat adalah mazhab al-Imam Ahmad. Sebab beliau telah membolehkan menjamak antara dua solat hanya disebabkan adanya keperluan ataupun ketika sedang sibuk. ”
Maka jika tidak ada kesulitan tidak boleh jamak, dan wajib bagi kita memahami hadis di atas secara sempurna. Dan kesempurnaan hadis tersebut adalah sebagai berikut:
“ Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi S.a.w. berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.”Dengan adanya solat jamak yang dilakukan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan mukim dan tanpa uzur turunnya hujan bukan bererti semua orang boleh menjamak solat tanpa adanya kesulitan. ”
Perkongsian yg bermanfaat utk pengetahuan kita semua... kdg2 masih ada yg confius kan...
ReplyDelete