Perkara Yang Perlu Dilakukan Ketika Ziarah Kubur


ASSALAMUALAIKUM ...


Sunat Beri Salam Pada Ahli Kubur | Bismillah . Mati itu memang pasti dan kita digalakkan mengingati hari mati supaya lebih beristiqamah dan mendorong untuk melakukan amal soleh sentiasa sama ada untuk diri sendiri atau untuk orang lain . Kita tak perlu takutkan kematian walaupun ramai yang takutkannya kerana kematian itu pasti tanpa kira umur dan masa .


Perkara Yang Perlu Dilakukan Ketika Ziarah Kubur


Kita digalakkan kerap menziarahi kubur . Dengan menziarahi kubur , kita akan lebih mengingati tentang kematian dan lebih menginsafi diri . Sekurang - kurangnya beri peringatan pada kita supaya cukupkan bekalan kebaikan di dunia . Bila sudah sampai di kubur tu , sunat bagi kita memberi salam pada ahli kubur .

Rasulullah saw bersabda dalam hadisnya yang bermaksud :
" Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung dari kalangan mukminin dan muslimin , sesungguhnya kami Insya - Allah akan bertemu kamu . Aku memohon kepada Allah agar diberikan keselamatan kepada kami dan kamu . "

Perkara Yang Perlu Dilakukan Ketika Ziarah Kubur


Menurut huraian ulama’ rahimahumullah, orang yang berziarah kubur dituntut melakukan seperti berikut:
1.  Hendaklah ia bersih dari hadas (sunat berwudhuk)
2. Ketika sampai ditanah perkuburan, disunat memberi salam secara umum kepada ahli kubur dan berdoa semoga mereka beroleh rahmat dan selamat sejahtera. Ini diterangkan dalam hadith berikut:

Dari Buraidah al-Aslami r.a, katanya;

Rasulullah s.a.w pernah mengajar sahabat-sahabatnya apabila mereka menziarahi tanah perkuburan supaya tiap tiap seorang di antara mereka (memberi salam dan berdoa dengan berkata:  Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli perkampungan (tanah kubur) ini, dari kalangan kaum mukminin dan muslimin; dan bahawa kami juga- Insya Allah akan menurut kamu apabila sampai gilirannya; semoga Allah memberi rahmat dan selamat sejahtera kepada kami dan kamu sekelian 
(Hadith riwayat Ahmad , Muslim dan Ibnu Majah)
3. Setelah sampai berhampiran kubur kaum kerabat atau sahabat kenalan, hendaklah berdiri rapat ditepi kubur dengan mengadap muka simati  (untuk mengetahui arahnya, semua orang mati dikebumikan dengan keadaan mengiring atas sebelah kanannya dan mukanya mengadap khiblat) sambil memberi salam secara khusus kepadanya : 

Contohnya kalau simati ayah kita, maka lafaz salamnya ialah :

Assalamualaikum wahai ayahku” dan kalau ibu, ” Assalamualaikum wahai ibuku.”

Demikian seterusnya kepada kaum kerabat dan sahabat kenalan, beri salam dahulu disertakan dengan panggilan yang biasa kita berbahasa dengan mereka semasa mereka hidup.
4. Selepas memberi salam, sunat membaca aya-ayat suci al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada simati.
5. Selepas membaca ayat-ayat suci al-Quran hendaklah mengadap kiblat dan berdoa untuk simati semoga Allah mengampuni dosanya dan melimpahkan rahmat kepadanya, kerana  doa yang didahului bacaan al-Quran lebih diharap makbulnya.

ZIARAH KUBUR RASULULLAH SAW


 

Umat Islam umumnya (lelaki dan perempuan), sunat menziarahi kubur Rasulullah s.a.w di Madinah al Munawwarah kerana pahala dan kebaikannya amatlah besar.

ZIARAH KUBUR IBU BAPA


Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakkad dan besar pahalanya. Makin bertambah pahalanya – seperti diterangkan dalam hadith-hadith nabi s.a.w. Makin bertambah pahalanya, jika kubur ibu bapa diziarahi pada tiap-tiap hari jumaat dan dibacakan surah Yaasin disisinya. 

Kelebihan mengenang ibu bapa dengan doa dan dengan menziarahi kuburnya membawa kebaikan bukan sahaja kepada anak-anaknya yang soleh tetapi juga kepada anak derhaka. 

Seperti dalam sebuah hadith diterangkan: 

Anak derhaka yang kematian kedua ibu bapanya kemudian dia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk mereka, nescaya ia diampuni Allah dan dikira sebagai anak yang taat.

 ORANG YANG MATI SENTIASA BERHAJAT KEPADA DOA UNTUKNYA


Kenangkanlah daku dalam doamu”- rayuan ini bukan sahaja terpancar dari orang yang hidup terhadap orang yang hidup, tetapi sentiasa dirayukan oleh orang yang mati.Ini diterangkan dalam hadith maksudnya:
Orang mati dalam kuburnya adalah seperti orang yang sedang tenggelam yang meminta pertolongan. Ia menunggu sampai kepadanya (rahmat) sesuatu doa dari anaknya,atau saudaranya, atau sahabat handainya. Apabila (rahmat) doa itu sampai kepadanya maka tidak terkira sukacitanya dan dirasainya (rahmat doa itu) lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya hadiah orang-orang yang hidup kepada orang mati ialah: ”Doa dan Istighfar”. 
(Riwayat oleh Ad-Dailami rahimahullah)

Rayuan rohnya dengan suara yang hiba dan menyayukan hati:


Di dalam hadith juga diterangkan, maksudnya:
Bahawa roh orang-orang mati datang beramai-ramai ke langit dunia pada tiap-tiap malam dan berhenti bertentangan dengan rumah masing-masing. Tiap-tiap satu roh di antaranya menyeru berkali-kali dengan suara yang hiba dan sayu, katanya:
Wahai ahli rumahku! Wahai kaum kerabat dan anak-anakku! Wahai orang-orang yang telah mendiami rumah kami, dan yang telah membahagi-bahagi dan menerima harta pusaka peninggalan kami, adakah sesiapa di antara kamu yang masih ingat kepada kami atau yang pernah memikirkan keadaan kami yang sedang berada di alam Barzakh?...kenanglah kami dan bantulah kami dengan doa dan amal-amal yang salih, semoga Allah memberi rahmat kepada kamu...
Setelah puas menyeru dan merayu, kembalilah kumpulan roh itu ke tempat masing-masing untuk datang lagi pada malam berikutnya.
Jika ada yang mendoakannya, kembalilah ia dengan gembira.   Jika tidak, kembalilah ia dengan hiba dan hampa.” 
[Hadith yang menyayukan hati ini disebutkan dalam I’anah at-Talibin (2:144) ] 
Kedua dua hadith ini menerangkan setakat mana berhajatnya orang yang mati kepada doa orang-orang yang hidup.
Sebab itulah kita diberi panduan di dalam al-Qur’an [ Diantaranya: ayat 41, surah Ibrahim, dan ayat 10, surah Al-Hasyr ] supaya tiap-tiap seorang sentiasa berdoa memohon rahmat bukan sahaja bagi dirinya, ibu bapanya dan kaum kerabatnya- tetapi juga bagi umat Islam umumnya, yang hidup dan yang mati. 

[ Jika si mati orang salih maka doa itu dapat meninggikan darjatnya, dan jika ia berdosa maka doa itu dapat menyelamatkannya dari azab (atau meringankan tanggungannya). 
Tanwir al-Qulub (217).


SUMBER


1 Response to "Perkara Yang Perlu Dilakukan Ketika Ziarah Kubur"

TERIMA KASIH SUDI KOMEN ... INSHAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA ...